Tips IVF yang Perlu Diketahui Sebelum Menjalani Rawatannya di Malaysia

Tidak dinafikan, rawatan IVF merupakan salah satu rawatan kesuburan yang paling mendapat perhatian pasangan yang mengalami masalah kesuburan dan sukar untuk mendapatkan cahaya mata di Malaysia. Hal ini adalah kerana terbiasa menyaksikan media sering melaporkan pengalaman IVF dan proses IVF berjaya dalam kalangan orang-orang berpengaruh di Malaysia.

Dengan adanya laporan sedemikian, ia lebih meyakinkan dan membuat lebih ramai pasangan yang terasa terpanggil untuk turut mencuba rawatan IVF sebagai ikhtiar. Walau bagaimanapun, walau terkenal mana pun rawatan ini dalam kalangan masyarakat, tidak dinafikan, masih ada yang tidak tahu apa itu IVF.  IVF lebih dikenali sebagai ‘bayi tabung uji’ di Malaysia dek kerana proses persenyawaan bayi yang diketahui dilakukan di makmal dan di dalam tabung uji.

Telur dan sperma disenyawakan oleh pakar bagi menghasilkan embrio. Apabila embrio sudah terhasil, ia akan dimasukkan ke dalam rahim. Rawatan IVF merupakan pilihan yang tepat jika anda dan pasangan sedang merancang untuk menimang cahaya mata tetapi mempunyai masalah kesuburan seperti endometriosis, kiraan sperma rendah, gangguan ovulasi, keadaan rahim atau tiub falopio.

Apa Itu IVF? Cara IVF Dilakukan Bagi Pasangan Yang Inginkan Anak

Namunbegitu, sebelum membuat keputusan lanjut, anda perlu mendapatkan nasihat pakar dan seeloknya mengadakan temujanji dengan kilinik rawatan kesuburan berdekatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Hal ini adalah untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan tips IVF daripada pasangan-pasangan yang telah berjaya mendapatkan cahaya mata. Berikut merupakan tips IVF yang perlu anda ketahui!

Kos Rawatan IVF

Perkara pertama yang perlu anda fikirkan ialah berkenaan kos rawatan yang perlu ditanggung. Harga IVF di Malaysia mungkin agak berbeza bergantung kepada lokasi, perubatan, polisi dan insurans anda. Oleh yang demikian, anda perlu memastikan bahawa anda melakukan kajian yang cukup untuk mendapatkan harga dan rawatan yang paling berbaloi.

Meskipun kos rawatan IVF pada awamnya diketahui menelan belanja yang agak tinggi, namun jika anda mempunyai wang secukupnya dan bersedia juga dari segi emosi, tidak salah untuk mencuba. Anda juga perlu pastikan bahawa anda akan mendapat rawatan sebaiknya dengan harga mampu dengan poket anda. Oleh itu, kajian yang lengkap mengenai kos rawatan, kos perubatan dan juga jenis rawatan yang akan diberikan perlu anda buat.

Mengamalkan Pemakanan yang Seimbang untuk IVF Berjaya

Apabila anda telah membuat keputusan untuk mengikuti rawatan IVF yang ditawarkan di sesebuah pusat perubatan, tugas anda kini lebih kepada fokus untuk menjaga kesihatan diri bagi memastikan proses rawatan IVF anda berjaya. Antara tips berguna yang boleh anda praktikkan ialah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan cuba mengambil beberapa makanan yang meningkatkan kesuburan.

Perlu anda ketahui bahawa berat badan yang terlampau kurang atau terlampau berlebihan boleh menjejaskan peluang anda untuk berjaya dalam IVF. Oleh itu, mempunyai BMI yang sihat dan normal adalah penting untuk anda. Selain itu, anda juga perlu mengikut garis panduan yang telah diberikan oleh klinik rawatan kesuburan yang telah menjadi pilihan anda mengenai berat badan ideal untuk proses rawatan IVF.

Diet yang rendah lemak dan tinggi protein, zat besi, magnesium dan kalsium adalah penting. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga merupakan pilihan ideal yang perlu dimasukkan dalam diet seharian. Antara makanan yang dianggap sangat baik untuk meningkatkan kesuburan ialah avokado, telur, kekacang dan makanan yang tinggi dengan lemak omega-3 seperti ikan salmon dan bijirin penuh.

Tambahan pula, anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan makanan tinggi gula, makanan yang diproses dan makanan ringan. Makanan sebegini tidak digalakkan untuk apa-apa jenis diet kerana ia mengehadkan makanan atau mineral tertentu yang boleh menjejaskan rawatan anda.